SPQR—"Senatus Populusque Romanus" a.k.a The Senate and The People of Rome

Disediakan sepenuhnya oleh Ahmad Dailami Fauzi

Senatus PopulusQue Romanus

Senatus Populusque Romanus (singkatan: SPQR) merupakan ungkapan bahasa Latin yang bermaksud Senat dan Orang-orang Rom (eng: The Senate and The People of Rom). Ia merupakan simbol kuasa dan keagungan Rom di era Republik. Peperangan dan penaklukan daerah-daerah asing, undang-undang yang ditegakkan, hubungan diplomatik dengan kota-kota yang menjadi sekutunya serta arahan-arahan yang dikeluarkan dari Rom kepada kawasan-kawasan jajahannya, semuanya dilakukan di atas nama Senate dan Orang-orang Rom.

Fasa Republik dalam sejarah Rom menandakan bermulanya detik-detik yang paling sukar dan mendebarkan dalam sejarah ketamadunan Rom, dimana kota Rom ketika itu dikelilingi oleh kota-kota lain yang membentuk satu perikatan yang disebut liga Latin (Latin league), terdiri dari sejumlah 30 buah kota-kota yang sama-sama terletak di atas dataran Latium (Latium plain) dan yang penduduknya bertutur dalam bahasa Latin.

Kota-kota ini melihat kemenangan Rom dalam memerangi bangsa Etrusan dan kebangkitan Rom dengan sistem pentadbiran baru yang dinamakan Republik itu. Mereka merasa terancam dengan kewujudan Rom dan cuba menyekat perkembangan kuasa Rom. Pada tahun 499 BCE, pasukan tentera Rom telah memenangi satu pertempuran dengan tentera liga Latin di tasik Regillus (Battle of Lake Regillus). Kemenangan ini menandakan terbentuknya ikatan diplomatik antara Rom dengan liga Latin dimana liga Latin terpaksa mengakui kenyataan bahawa mereka tidak mampu mencabar kuasa Roman. Ia menandakan titik waktu Rom menjadi kota yang paling berkuasa di dataran Latium dan telah mula mampu mengenakan pengaruhnya ke atas kota-kota lain—secara khususnya kota-kota menjadi anggota liga Latin. Namun pengaruh Rom masih terbatas kepada dataran Latium sahaja. Rom belum menguasai seluruh Itali. Perjalanannya sesungguhnya masih panjang.

Setelah pertempuran di tasik Regillus dan terbentuknya hubungan diplomatik antara Rom dan kota-kota dalam liga Latin, mereka bersetuju bersetuju untuk berganding bahu bersama-sama mempertahankan dataran Latium dari serangan puak-puak Aequi dan Volsci yang tinggal di pergunungan Apennines yang berdekatan (mereka sesuai digelarkan sebagai 'orang-orang gunung'). Rom telah mewujudkan satu perjanjian dengan liga Latin yang disebut foedus cassianum dimana mereka bersetuju untuk menghantar askar setiap tahun untuk berkhidmat untuk Rom dan Rom pula berjanji akan membantu kota-kota ini apabila diserang dan memberikan mereka bahagian yang adil dari harta rampasan. Perjanjian ini memberi impak yang sangat besar dalam mengukuhkan kuasa ketenteraan Rom dan membolehkan Rom menghadapi pelbagai ancaman lain di masa-masa seterusnya. Namun ketika kuasa Rom semakin berkembang, Rom cengkaman dominasinya ke atas liga Latin menjadi semakin kuat, menyebabkan banyak kota-kota ini merasa tidak berpuas hati dengan protokol-protokol yang dikenakan Rom ke atas mereka.

Ikuti penulisan-penulisan saya dimasa akan datang untuk mengetahui bagaimana Rom menghadapi konflik-konflik ini sehingga terjadinya pertempuran-pertempuran yang bakal menentukan hala tuju Rom sebagai kuasa yang dominan di semenanjung tanah Itali dan seterusnya di seluruh Eropah. Berbekalkan dengan kekuatan, jati diri, maruah dan keazaman yang tidak pernah luntur dimana prinsip-prinsip ini telah mengalir dalam darah orang-orang Roman dan membentuk identiti bangsa yang mereka perjuangkan, Rom mara ke hadapan, di atas nama Senatus Populusque Romanus (Senat dan Orang-orang Roman) bagi menghadapi ancaman-ancaman terbesar dalam sejarahnya, dimana ada antaranya yang telah hampir melenyapkan Rom dari peta Itali.

Namun tanpa berputus asa, mereka berundur, lalu bangkit semula, mengumpul kekuatan, mempertajamkan senjata, mengatur strategi dan menyusun barisan, lalu bertempur semula. Hingga musuh-musuh Rom walaupun yang terkuat dan terbesar dari segi bilangan dan kelengkapan ketenteraannya tidak dapat bertahan, tewas pada ketegasan dan keazaman Rom dan akhirnya berundur atau binasa sama sekali.

Dengan sikap beginilah Rom telah mara ke hadapan sambil melenyapkan musuh-musuhnya satu persatu sehingga berjaya menawan seluruh semenanjung tanah Itali dan akhirnya seluruh Eropah hingga menjadi satu-satunya kuasa politik dan ketenteraan yang terunggul dalam sejarah Eropah, dimana kesenian, kebudayaan, bahasa, sastera, falsafah, idea-idea politik, undang-undang serta ketenteraan yang dipegang oleh Rom telah meninggalkan kesan yang begitu mendalam terhadap dunia Eropah.

No comments:

Post a Comment

Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Rom: Peristiwa Penculikan Dan Pemerkosaan Wanita-wanita Sabine

Ada dua peristiwa yang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan sejarah permulaan dan pengakhiran kerajaan Rome. Kedua-duanya dikaitkan d...