Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Pengenalan: Empayar Roman Di Kemuncak Kegemilangannya

Disediakan sepenuhnya oleh Ahmad Dailami Fauzi

Jika penulis perlu menggambarkan Rom dalam satu ungkapan mudah, ianya begini: Rom merupakan salah satu keajaiban dari keajaiban-keajaiban dunia. Empayar Roman di zaman kemuncak kegemilangannya merupakan kuasa politik dan ketenteraan yang terunggul yang pernah muncul dalam sejarah Eropah. Pasukan tentera Roman merupakan pasukan tentera yang paling terlatih dan terbaik dari segi kelengkapan dan disiplinnya di dunia ketika itu. Ketamadunan Roman telah meninggalkan pengaruh yang cukup-cukup besar dan mendalam kepada jiwa dan pemikiran masyarakat Eropah dan juga Timur Dekat (Near East). Dengan itu, apa yang berlaku sepanjang tempoh Rom berkuasa — pada mulanya sebagai Republik Roman dan kemudiannya sebagai empayar Roman telah menentukan hala tuju dan masa depan sejarah Eropah silam itu sendiri. Malah, Eropah yang dapat kita lihat pada hari ini, merangkumi negara-negara seperti Sepanyol, Perancis, German, Itali, Greece, dan lain-lain, ialah sepenuhnya hasil tinggalan dari pengaruh ketamadunan Roman.

(Kawasan bertanda merah dan oren dalam peta kedua-duanya mewakili empayar Roman, namun dengan pembahagian yang berbeza. Kawasan berwarna merah ialah empayar Roman Barat (Western Roman Empire) dan yang sebelah oren sebenarnya ialah empayar Roman Timur (Eastern Roman Empire). Byzantine empire hanyalah nama lain yang telah digunakan oleh para sejarawan pada suatu masa untuk merujuk kepada empayar Roman Timur ini).

Seluruh kawasan dan daerah yang berada dalam empayar ini ditadbir dari pusatnya, iaitu Kota Rom itu sendiri, yang terletak di negara Eropah yang pada hari ini kita kenal sebagai Itali. Pentadbiran ini dijalankan oleh seorang individu yang digelar maharaja Roman (Roman emperor), yang mewakili pemerintah agung Rom dan seluruh daerah jajahannya. Dalam bahasa jati orang-orang Roman, bahasa Latin, panggilan untuk maharaja ini biasa diungkapkan dengan gelaran-gelaran seperti augustus (sebutan: ow-gus-tus) atau caesar (sebutan: si-zar). Dalam kalangan tentera, maharaja dikenali dengan gelaran imperator.

Pada satu titik waktu dalam sejarah empayar Roman (tahun 324M), maharaja Constantine I (juga dikenali sebagai Constantine The Great) telah membina sebuah pusat baru di Byzantium, Asia Minor (kawasan yang kita kenali pada hari ini sebagai negara Turki). Beliau telah membina sebuah kota yang cukup kuat dan strategik kedudukannya di situ, lalu dinamakannya Constantinople. Beliau menjadikannya sebagai pusat baru bagi empayar Timur, dimana beliau menamakannya sebagai 'novus roma' (Rom baru; 'new Rome').

Apabila anda mempunyai empayar sebesar ini untuk ditadbir, tanggungjawab yang paling getir dan mencabar adalah untuk menegakkan undang-undang dan mengekalkan apa yang disebut keteraturan awam (i.e. public order). Ini kerana pastinya terdapat penduduk di kawasan tertentu yang tidak suka kebebasan mereka dikongkong oleh pentadbiran Roman atau mereka tidak berpuas hati dengan arahan atau keputusan tertentu. Dengan itu, pemberontakan dan kekacauan boleh meletus bila-bila masa dan ini sememangnya telah berlaku sepertimana yang direkodkan dalam sejarah Roman sendiri.

Maka dapatlah difahami bahawa tugas memimpin sebuah empayar sebegini sungguh tidak mudah untuk digalas. Mereka yang layak memegang kedudukan sebagai maharaja Roman bukanlah sebarangan manusia. Ia memerlukan fikiran yang cekap dan cerdas serta pandangan yang jauh dalam melihat soal politik dan kuasa. Maharaja Roman harus berkebolehan mengesan masalah-masalah yang meliputi soal ekonomi, pentadbiran dan pelbagai ancaman dalam dan luar. Sejarah telah menunjukkan bahawa kekuatan utama, yang juga merupakan salah satu dari perkara yang paling menakjubkan pada ketamadunan Roman, ialah kebolehan mereka untuk menguruskan sebuah empayar yang sebegini luas dengan sebegitu cekap, dan mengekalkan kestabilan dan keamanannya untuk tempoh waktu yang cukup lama.

Bermula dari kebangkitan maharaja Roman yang pertama, iaitu Octavius, (mengambil nama gelaran Augustus Caesar setelah menjadi maharaja) pada 27 CE hingga 180 CE, iaitu selama 206 tahun, empayar Roman telah mengalami suasana kedamaian dan kemakmuran yang tidak tertanding dan jarang dapat dilihat sepanjang sejarah dunia. Tempoh waktu ini disebut dalam Latin sebagai Pax Romana (The Roman Peace).

Orang-orang Roman atau bangsa Roman (disebut 'Romans') terkenal dengan kepintaran mereka yang luar biasa dalam bab politik, pentadbiran, pengurusan kuasa dan perlaksanaan undang-undang, selain mereka juga amat terkenal dengan kefasihan mereka berpidato dan memanipulasi elemen bahasa hingga mereka mempunyai kemahiran diplomatik yang cukup tinggi. Inilah salah satu rahsia kejayaan mereka, yang mana dengan kemahiran diplomatik ini, mereka mampu 'memujuk' bangsa-bangsa lain supaya menyertai mereka serta menerima dan mengiktiraf kedudukan mereka di pentas kuasa. Berbekalkan kesemua ini, bangsa Roman bukan setakat telah berjaya mewujudkan sebuah empayar, malah sesuatu yang lebih sukar dari itu, iaitu mengekalkannya sebagai satu unit kuasa yang stabil dan berfungsi sebagai unifying force of Europe, iaitu kuasa penyatu yang mengikat negara-negara Eropah dibawah satu bendera dan pentadbiran selama beratus-ratus tahun lamanya, walaupun setelah dihimpit pelbagai masalah serta ancaman, dalaman dan luaran.

Pada hari ini sistem undang-undang yang digunakan di kebanyakan negara-negara dunia ialah civil law yang merupakan sistem undang-undang Roman dan salah satu sumbangan ketamadunan Roman terhadap dunia. Dan negara seperti Amerika Syarikat mengamalkan sistem demokrasi republikan yang amat dipengaruhi oleh konsep-konsep politik yang diperkenalkan oleh masyarakat Roman.

Kesan Dan Impak Ketamadunan Roman Terhadap Hala Tuju, Kebudayaan dan Pemikiran Eropah

Mengapa kita berbicara mengenai sejarah Roman silam dan ada apa dengannya?

Mengetahui sejarah ketamadunan Roman silam amat penting sebagai langkah memahami dan menyelam ke dalam jiwa dan pemikiran masyarakat Eropah serta mendekati mereka. Kita ummat Islam sedang memikul tanggungjawab ini. Kenapa? Kerana mendekatkan diri kita dengan jiwa masyarakat Eropah menjadikan pendekatan kita lebih mesra dengan mereka sekaligus memudahkan kita untuk menyampaikan Islam kepada mereka.

Selain itu, memahami sejarah empayar Roman juga membantu kita untuk memahami konflik yang berlaku di antara kuasa Islam dan kuasa Roman Timur (Roman Byzantine). Setelah perluasan kuasa Islam ke sebelah Barat yang berlaku sepanjang pemerintahan Khulafāʼ ar-Rāsyidīn, kemudian diteruskan oleh dinasti ʻUmaiyyah dan setelahnya dinasti ʻAbbasiyah, dimana negara-negara dibawah jajahan Roman Timur ini telah ditawan oleh Islam, ummat Islam bergaul dan berinteraksi dengan masyarakat yang menetap di negara-negara ini. Kita ingin mengetahui bagaimana ummat Islam dipengaruhi oleh pemikiran dan kebudayaan Roman, apakah sisi-sisi positif dan negatif pengaruh tersebut, apa yang patut diteruskan dan dikekalkan daripada contoh-contoh yang baik dan apa pula yang mesti ditinggalkan.

Rom bukan setakat telah berjaya menjadi kuasa besar Eropah dan membina sebuah empayar, malah mereka juga telah berjaya memastikan keutuhan, kestabilan, kemajuan, keamanan, evolusi dan penstukturan empayar itu berjalan selama ratusan tahun hingga meninggalkan suatu kesan yang cukup hebat dan mendalam terhadap identiti, pemikiran dan jiwa masyarakat Eropah. Ketamadunan Roman telah menjadi lambang bagi keunggulan kuasa, politik dan undang-undang yang tetap dipuja dan diikuti dengan begitu megahnya oleh negara-negara Eropah meskipun setelah beratus-ratus tahun berlalu semenjak keruntuhannya.

Perkara ini akan dapat dilihat apabila kebanyakan empayar-empayar lain yang telah muncul di Eropah selepas keruntuhan empayar Roman Barat mengambil Rom sebagai sumber inspirasi dan ikutan mereka. Ini seperti Holy Roman Empire yang diperintah oleh Charlemagne (dinasti Carolingian) dan empayar Britan—yang pernah menjajah negara-negara Asia termasuk tanah Melayu.

Charlemagne, Charles I atau Charles The Great (774—814 CE)—merupakan raja orang-orang Franks dan pemerintah terulung Eropah Barat selepas keruntuhan empayar Roman Barat pada 476 CE. Beliau telah melaksanakan percubaan untuk mewujudkan semula empayar Roman dengan memimpin tenteranya keluar dari France dan menawan sebahagian kawasan-kawasan yang pernah berada dibawah jajahan Roman Barat seperti German, beberapa kawasan di Sepanyol, Italy dan Hungaria. Beliau berpendirian setelah kejatuhan Kota Roman, kedudukan sebagai maharaja Roman kekal kosong dan belum pernah diisi oleh sesiapa dan beliaulah individu yang berhak mengisinya. Lalu pada tahun 800 CE, beliau ditabalkan sebagai 'emperor' oleh ketua gereja Kristian Katolik ketika itu, Pope Leo III, sekaligus menghidupkan semula gelaran emperor ketika zaman Roman dulu dan mewujudkan apa yang dinamakan Holy Roman Empire—yang sebenarnya merupakan satu percubaan dari Charlemagne untuk menghidupkan kembali dan menyambung kegemilangan empayar Roman.

Tradisi Holy Roman Emperor diteruskan oleh para pengganti Charlemagne yang memerintah 'empayar Roman bayangan' ini selama beratus-ratus tahun setelah itu sehinggalah pembubarannya pada tahun 1806 CE oleh pemimpin France, Napoleon Bonaparte. Raja-raja atau maharaja yang memerintah negara-negara Eropah (seperti Sepanyol, Perancis dan German) dikatakan telah cuba meniru pakaian maharaja Roman dan ciri-ciri serta kebudayaan mereka. Kemudian pentadbiran dan undang-undang yang digunakan di Eropah masih lagi mengkuti corak Roman, dengan bahasa jati orang-orang Roman, yakni Latin, menjadi bahasa penulisan akademik dan undang-undang serta bahasa rasmi gereja Kristian Katolik yang pemegang kuasa yang dominan di Eropah Barat.

Kemudian aspek-aspek pentadbiran Roman di zaman ketika mana ia mengamalkan sistem pemisahan dan pembahagian kuasa berstuktur yang disebut 'Republik' (Roman Republic) telah ditiru oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat sewaktu penubuhannya pada tahun 1777 CE. Dan sistem politik Amerika Syarikat pula menjadi contoh dan model bagi sistem politik yang diamalkan di seluruh dunia selepas itu.

Pendek kata, walaupun ketamadunan Roman telah berakhir dengan keruntuhan empayarnya, masyarakat Eropah tidak berhasil memadamkan nama dan identiti Rom dari fikiran mereka. Mereka hidup bersama-sama adat, kebudayaan dan kesenian Roman, falsafah dan pemikiran orang-orang Roman, serta undang-undang yang disusun oleh Roman. Mereka masih lagi terbayang-bayang zaman ketika mana hala tuju hidup mereka ditentukan oleh para pemimpin Roman.

No comments:

Post a Comment

Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Rom: Peristiwa Penculikan Dan Pemerkosaan Wanita-wanita Sabine

Ada dua peristiwa yang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan sejarah permulaan dan pengakhiran kerajaan Rome. Kedua-duanya dikaitkan d...