Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Roman: Asal-usul Dan Penubuhan Kota Rom

Disediakan sepenuhnya oleh Ahmad Dailami Fauzi

Kota Rom ditubuhkan pada tahun 753 SM (SM: Sebelum Masihi, BCE: Before Common Era, BC: Before Christ) oleh adik beradik kembar, Romus dan Remulus. Kisah mengenai asal usul dan kelahiran mereka sebahagian besarnya diselubungi oleh mitos yang dipegang masyarakat Rom. Dikatakan Romus dan Remulus ialah hasil hubungan dewa yang dianggap oleh orang-orang Rom sebagai dewa peperangan, digelar Mars, dan seorang gadis paderi (priestess) yang bernama Rhea Silvia yang merupakan salah seorang dari kumpulan paderi wanita yang disebut 'Vestal Virgins'[1].

Orang-orang Rom percaya dan amat berpegang teguh kepada mitos ini dan mengambilnya sebagai penjelasan kepada asal usul mereka. Ia juga menjadi sebahagian dari identiti bangsa dan sumber inspirasi mereka, dimana mereka percaya bahawa mereka merupakan keturunan dewa Mars, dengan itu mereka memanggil diri mereka 'anak-anak Mars' (the sons of Mars).

Romus dan Remulus dilahirkan di kota Alba Longa[2], salah satu antara kota-kota silam di semenanjung tanah Itali yang terletak berhampiran Rom ke arah selatannya (Pada ketika ini Rom belum wujud, hanya kawasan tanahnya sahaja yang ada). Dikatakan sejurus selepas mereka dilahirkan, raja yang memerintah Alba Longa ketika itu, yang juga merupakan bapa saudara mereka, mengarahkan mereka agar dibunuh. Mereka ditinggalkan di tebing sungai Tiber dengan harapan mereka akan mati.

Namun mereka diselamatkan oleh dewa Tiberinus, dewa yang menguasai sungai Tiber dan dibesarkan di lokasi yang bakal menjadi kawasan dimana tertubuhnya Kota Rom nanti. Menurut kisah yang popular, Romus dan Remulus telah diselamatkan oleh seekor serigala betina (she-wolf) yang telah membesarkan mereka dengan menyusukan mereka. Setelahnya, mereka diambil pula oleh seorang penggembala kambing, Faustulus. Mereka membesar dengan membantu Faustulus menggembala kawanan kambing, tanpa menyedari asal usul mereka bahawa mereka sebenarnya adalah dari keturunan raja Alba Longa.

Kota Rom terletak di tebing sungai Tiber yang mengalir dari pergunungan Apennines yang membahagikan semenanjung Itali menjadi dua[3]. Kawasan dimana kota ini terletak mempunyai segugusan tujuh bukit yang menjadi tapaknya, yang disebut The Seven Hills of Rom, nama-namanya ialah Aventine, Caelian, Capitoline, Esquiline, Palatine, Quirinal dan Viminal. Untuk dipendekkan cerita, ketika sedang memikirkan tapak yang sesuai untuk menubuhkan kota baru ini, Romus dan Remulus bertengkar. Romulus memilih bukit Palatine, sedangkan Remus menyukai bukit Aventine. Pertengkaran ini menjadi semakin sengit hingga Romulus membunuh Remus dan seterusnya menyempurnakan penubuhan Kota Rom. Romulus menjadi raja Rom yang pertama dan memulakan fasa pertama dalam sejarah ketamadunan Rom, yakni kerajaan Rom (Roman Kingdom).


[1]. Vestal Virgins: mereka ialah gadis-gadis suci dewi Vesta, yang mengikut mitos kepercayaan Rom merupakan dewi rumah dan keluarga. Mereka mempunyai kedudukan penting dalam ritual agama dan kepercayaan orang-orang Rom. Mereka dibebaskan daripada tanggungjawab kemasyarakatan untuk berkahwin dan melahirkan anak, malah harus menyatakan ikrar untuk kekal sebagai gadis selama 30 tahun dan terus mengabdi kepada tanggungjawab mereka.

[2]. Saya tidak dapat mencari peta yang baik untuk menerangkan lokasi Alba Longa kerana kota ini telah pupus. Ia ditawan oleh tentera Rom sekitar pertengahan kurun ke-7 BCE, setengah dekad selepas penubuhan Rom. Dikatakan tentera Rom dibawah pimpinan raja Rom yang ke-3, Tullus Hostilius telah berjaya menawan kota tersebut. Tullus memerintahkan supaya askar Rom menghapuskan kota tersebut dan memindahkan penduduknya ke Rom, menjadikan populasi Rom bertambah dua kali ganda.

[3]. Keadaan bentuk muka bumi semenanjung tanah Itali dan lapangan Latium (Latium plain) dimana kota Rom diasaskan akan dibincangkan dengan lebih terperinci di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Rom: Peristiwa Penculikan Dan Pemerkosaan Wanita-wanita Sabine

Ada dua peristiwa yang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan sejarah permulaan dan pengakhiran kerajaan Rome. Kedua-duanya dikaitkan d...