Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Roman: Raja-raja Roman

Disediakan sepenuhnya oleh Ahmad Dailami Fauzi

Fasa kerajaan Rome bermula dengan penubuhan kota Rome itu sendiri pada 753 BCE dan berakhir dengan peristiwa pemerkosaan Lucretia, seorang wanita bangsawan, yang membawa kepada rajanya yang terakhir digulingkan pada 509 BCE. Peristiwa ini menandakan berakhirnya fasa kerajaan yang merupakan fasa pertama dalam sejarah ketamadunan Rome dan Rome memasuki fasa seterusnya, iaitu fasa Republik. Ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut di penulisan akan datang.

Latar Belakang Raja-raja Rome

Sepanjang tempoh waktu ini, Rome telah diperintah oleh tujuh orang raja, iaitu:-

1. Romulus (753—716 BCE), pengasas Rome sendiri. Setelah peristiwa pertengkarannya dengan kembarnya, Remus, mengenai tapak yang sesuai untuk menubuhkan kota baru ini sehingga membawa kepada beliau membunuh Remus, beliau meneruskan penubuhan kota dan mula mengumpulkan sekumpulan kecil pengikut yang berasal dari pelbagai latar belakang kehidupan. Tidak lama setelah itu, Rome menghadapi satu krisis kemasyarakatan yang pertama dalam sejarah mereka: Mereka kekurangan orang-orang perempuan. Sebagai langkah untuk menyambung keturunan, mereka memutuskan untuk menculik wanita dari kaum-kaum yang tinggal berdekatan, yang mana mereka ini termasuk penetap jati semenanjung tanah Italy ketika itu. Antara yang paling ramai hadir ialah orang-orang perempuan dari kaum Sabine. Ini membawa kepada peristiwa pemerkosaan wanita-wanita Sabine (The Rape of the Sabine Women) yang akan diceritakan lebih lanjut dalam penulisan akan datang.

Menurut sejarawan Roman terkemuka, Livy atau Titus Livius Patavinus, peristiwa ini sebenarnya tidak pun membabitkan hubungan secara paksa atau pemerkosaan. Oleh itu para sejarawan moden lebih suka menyifatkannya sebagai 'penculikan'. Namun tetap wujud kontroversi dalam menafsirkan rekod penceritaan bagi kejadian ini, sama ada ia dalam bentuk penculikan semata-mata atau pemerkosaan. Ini kerana penculikan ini berlaku secara besar-besaran, justeru berkemungkinan juga ada yang sekadar menculik dan memujuk wanita-wanita tersebut agar sudi menjadi isteri dan ada juga yang sampai memperkosa.

Peristiwa pemerkosaan wanita-wanita Sabine telah diceritakan dalam topik berikut: Kerajaan Rome: Peristiwa Penculikan Dan Pemerkosaan Wanita-wanita Sabine

Pengakhiran hidup Romulus tidak diketahui dengan pasti. Dikatakan beliau telah lenyap secara misteri dalam satu peristiwa hujan ribut. Orang-orang Roman yang sememangnya sangat gemarkan mitos mencipta penjelasan mereka sendiri untuk menerangkan kehilangan misteri Remulus ini. Mereka percaya Remulus telah diangkat ke langit menjadi salah satu dewa mereka yang disebut Quirinus. Maka Romulus menjadi salah satu legenda penting dalam kepercayaan orang-orang Rome.

2. Numa Pompilius (716—672 BCE). Merupakan seorang raja dari bangsa Sabine, yang telah diserap masuk menjadi penduduk Rome setelah peristiwa pemerkosaan wanita-wanita Sabine. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menguruskan kalendar Roman dan ritual-ritual keagamaan silam yang diamalkan oleh masyarakat Roman.

3. Tullus Hostilius (672—642 BCE). Seorang raja yang beperwatakan pahlawan. Pada zamannya, beliau memimpin pasukan tentera Rome untuk menawan kota Alba Longa yang menjadi asal-usul bermulanya keturunan orang-orang Rome, iaitu tempat kelahiran Romus dan Remulus. Seterusnya beliau mengarahkan agar kota ini dihapuskan dan penduduknya diserap ke dalam populasi Rome, menjadikannya bertambah dua kali ganda.

4. Ancus Marcius (642—616 BCE). Cucu kepada Noma Pompilius (raja ke-2). Seperti mana datuknya, beliau meletakkan penekanan ke atas perlaksanaan ritual-ritual keagamaan yang betul. Seperti Tullus (raja ke-3), beliau juga seorang pahlawan yang telah memimpin pasukan perang dalam pertempuran dengan bangsa-bangsa Latin yang lain (eng: Latin people) yang mendiami kota-kota yang bertebaran di sekitar dataran Latium (eng: Latium plain).

5. Lucius Tarquinius Priscus (616—578 BCE). Raja berketurunan Etruscan yang datang dari sebelah utara Italy (siapa Etruscan akan disebutkan selepas ini). Pemerintahannya menyaksikan kawasan kota diperluaskan, terutama sekali di sekeliling bangunan pusat kota yang disebut Roman Forum (Latin: Forum Romanum). Ini kerana orang-orang Etruscan terkenal dengan kebolehan mereka yang amat mengkagumkan dalam seni pembinaan dan arkitektur. Lucius cuba menggunakan kepakaran Etruscan dalam membangunkan kota Rome, menjadikan Rome menerima pengaruh besar dari kesenian dan kebudayaan Etruscan. Beliau juga turut menyediakan tapak untuk pembinaan bangungan keagamaan yang paling penting dalam agama dan kepercayaan masyarakat Roman, iaitu Gereja Jupiter (The Temple of Jupiter).

6. Servius Tullius (578—534 BCE). Menantu kepada Lucius Tarquinius, juga berbangsa Etruscan. Beliau telah melakukan berbagai pembaharuan pada struktur masyarakat Roman. Berikut ialah beberapa pembaharuan penting yang dilakukannya:-

✓ Mewujudkan sistem rekod penduduk yang disebut census dan melantik pegawai yang bergelar censor untuk menjalankan tanggungjawab mencatit maklumat kerakyatan bagi setiap penduduk. Beliau juga telah menyusun atur penduduk Rome kepada 30 (sesetengah sumber mengatakan 35) puak-puak baru mengikut kawasan di mana letaknya tanah-tanah yang menjadi hak milik dan tempat tinggal mereka daripada sebelumnya klasifikasi berdasarkan suku-suku keluarga dari mana mereka berasal dan berapa banyak harta yang mereka miliki. Setiap rakyat yang mampu memegang senjata dikira dalam rekod census ini, sedangkan mereka yang tidak mampu seperti wanita dan kanak-kanak dikecualikan. Sistem ini secara automatiknya akan memasukkan setiap pendatang baru ke dalam pembahagian ini. Pembaharuan ini dilakukan kerana sebelumnya, orang-orang Rome hanyalah satu badan masyarakat yang kacau dan keliru, menyebabkan mereka menjadi sukar untuk diuruskan.

✓ Mewujudkan perhimpunan rakyat ketenteraan yang disebut comitia centuriata (eng: centuriate assembly). Comitia centuriata mewakili apa yang disebut sebagai perhimpunan tentera rakyat Rome. Ia merupakan salah satu dari tiga perhimpunan-perhimpunan rakyat yang terpenting dalam masyarakat Rome (akan disebut dan dibincangkan dalam artikel-artikel seterusnya). Perhimpunan ini ditubuhkan untuk memberi kuasa kepada rakyat untuk meluluskan undang-undang dan keputusan-keputusan penting seperti pengisytiharan peperangan, perlantikan pegawai-pegawai baru dan sebagainya. Sebelum comitia centuriata ditubuhkan, kuasa-kuasa ini hanya diberikan kepada perhimpunan rakyat yang disebut comitia curiata (eng: curiate assembly) yang hanya terdiri dari golongan aristokrat Roman yang digelar patricians (siapa mereka akan disebut secara terperinci selepas ini).

✓ Selain itu beliau juga memperluaskan kawasan kota dan didakwa telah membina tembok pertahanan terawal bagi kota Rome yang disebut Servian Wall. Namun menurut sesetengah sumber, tembok sebenar yang dicipta untuk melindungi Rome hanya dibina sekitar 390 BCE setelah satu musibah besar menimpa Rome, iaitu peristiwa serangan bangsa Gaul ke atas Rome, dimana kota ini telah ditawan dan dimasuki oleh askar-askar orang gasar (barbarians) yang datang dari Gaul, lalu kota tersebut telah digeledah.

7. Lucius Tarquinius Superbus (534—509 BCE). Merupakan raja terakhir yang memerintah kerajaan Rome. Terkenal dengan kezalimannya, pemerintahannya dicemari oleh rampasan kuasa dan pembunuhan. Beliau dikatakan telah merebut takhta dengan cara membunuh abang, isterinya dan raja sebelumnya (Servius Tullius).

Tiga raja terakhir ini berasal dari keturunan Etruscan. Bangsa Etruscan ialah bangsa paling maju, kaya dan bertamadun yang menetap di semenanjung tanah Italy bermula sekitar 900 BCE. Mereka menetap di lapangan subur Etruria yang terletak di utara Italy. Saya akan membincangkan secara ringkas mengenai bangsa Etruscan ini dan bagaimana mereka meninggalkan pengaruh-pengaruh yang mendalam ke atas aspek kesenian dan kebudayaan masyarakat Rome.

Salah seorang putera Superbus, iaitu Sextus Tarquinius, telah memperkosa seorang wanita bangsawan bernama Lucretia. Peristiwa ini membawa kepada kemarahan rakyat Rome hingga mereka bangkit memberontak dan menumbangkan Superbus, seterusnya berikrar bahawa mereka selama-lamanya tidak akan merelakan Rome diperintah oleh seorang raja lagi. Superbus menjadi raja terakhir yang memerintah Rome. Lalu mereka menggantikan pentadbiran Rome daripada sistem autokrasi monarki (sistem beraja)—dimana kuasa hanya ditumpukan kepada seorang individu tunggal (raja)—kepada sistem Republik, yang mengamalkan sistem pembahagian kuasa berstuktur. Peristiwa ini telah diceritakan dalam Bahagian 1 dan Bahagian 2 bagi topik Kerajaan Rome: Peristiwa Pemerkosaan Lucretia, Penggulingan Raja Rome Terakhir, Berakhirnya Kerajaan Rome Dan Rome Muncul Sebagai Kuasa Republik.

Meskipun kebanyakan penceritaannya hanya bersandarkan mitos, apa yang menjadi fakta yang pasti ialah Rome memang telah mengalami fasa kerajaan dimana ia diperintah oleh sekurang-kurangnya tujuh orang raja, bermula Remulus hingga ke Lucius Tarquinius Superbus.

Peranan Raja-raja Rome

Dalam fasa kerajaan Rome, individu yang bergelar raja mempunyai kuasa mutlaq ke atas seluruh pentadbiran Rome dan hal-ehwal rakyat jelatanya. Untuk menerangkan perkara ini dengan lebih terperinci, harus difahami bahawa seorang raja Roman diberi tiga kuasa terpenting, iaitu:-

✔ Kuasa perundangan (legislative power): Kuasa ekslusif untuk menggubal undang-undang, yakni mencipta dan mewujudkan undang-undang yang memandu kehidupan masyarakat Roman.

✔ Kuasa kehakiman (judicial power): Kuasa ekslusif untuk menafsir undang-undang dan mengaplikasikannya kepada kes-kes, keadaan serta individu yang berada di dalam domain undang-undang tersebut, iaitu rakyat Roman yang mempunyai kewarganegaraan Roman yang sah, dan menyelesaikan segala pertelingkahan antara mereka.

✔ Kuasa perlaksanaan (executive power): Kuasa ekslusif untuk melaksanakan dan menjalankan undang-undang serta keputusan-keputusan dalam hal-ehwal pentadbiran kota. Dalam istilah kuasa orang-orang Rome, kuasa perlaksanaan ini disebut imperium dan ia merupakan istilah yang cukup penting untuk difahami dan diingati sepanjang seseorang itu mempelajari sejarah Rome. Peranan terutama yang berada dibawah bidang kuasa imperium ini ialah kuasa untuk menggerakkan dan memimpin pasukan tentera di medan tempur. Dengan itu, raja Roman merupakan panglima agung bagi semua angkatan (yang disebut sebagai 'legions') dalam pasukan tentera Rome.

Imperium merupakan kuasa utama raja Roman dan ia menjadi simbol kepada autoriti diraja, dalm erti kata lain seorang raja hanya menjadi raja kerana dirinya telah dianugerahi dengan kuasa imperium oleh rakyat Roman. Selain itu, kuasa kehakiman juga turut berada dibawah imperium.

Rakyat menganugerahkan imperium kepada seorang raja melalui perhimpunan-perhimpunan rakyat Roman (Roman assemblies)—yang diberi hak untuk mengundi bagi meluluskan undang-undang dan keputusan-keputusan penting kerajaan seperti menganugerahkan imperium ketika melantik raja, mengisytiharkan perang, meluluskan undang-undang dan lain-lain. Ketika era kerajaan Rome ini, oleh kerana segala kuasa dan peranan penting ditumpukan hanya kepada raja, perhimpunan-perhimpunan rakyat mempunyai peranan yang sangat kecil. Sebelum zaman Servius Tullius (raja Rome yang ke-6 di atas), satu-satunya perhimpunan rakyat yang penting ketika itu ialah perhimpunan Curiate (telah disebutkan dalam keterangan mengenai raja Rome ke-6, Servius Tullius), dimana orang-orang Rome dibahagikan kepada 30 pecahan yang disebut curia.Semua curia ini mewakili suku-suku keluarga bagi penduduk Rome ketika itu. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di masa akan datang.

Badan Penasihat Raja-raja: Senate

Raja-raja Roman juga dibantu oleh badan penasihat diraja yang disebut Senate. Anggota Senate terdiri orang-orang tua yang berasal dari golongan aristokrat Roman, iaitu bangsawan pemilik tanah yang digelar patricians. Golongan patricians ini pula terdiri dari pecahan suku-suku keluarga yang menjadi pengikut Remulus pada awal penubuhan Rome. Ketua bagi setiap keluarga ini, disebut pater atau ayah, biasanya lelaki yang paling tua dalam keluarga-keluarga tersebut, diambil menjadi anggota Senate.

Ketika zaman kerajaan Rome, golongan Senate, seperti juga perhimpunan-perhimpunan rakyat yang telah disebutkan sebelum ini, mempunyai skop kuasa yang sangat kecil dan terbatas. Fungsi utama mereka ialah memilih calon raja baru, sebelum perhimpunan rakyat yang disebut Curiate Assembly (lihat keterangan di atas) mengundi untuk sama ada menerima atau menolak calon tersebut dan penerimaan mereka bererti mereka menganugerahkan imperium (kuasa eksekutif) kepadanya, dengan itu merasmikan kedudukannya sebagai raja. Kemudian golongan Senate juga dipanggil oleh raja untuk menyatakan nasihat dan pendapat mereka apabila raja membuat keputusan dan membentangkannya dihadapan mereka. Sebagai badan penasihat, mereka tidak mempunyai autoriti untuk membantah raja atau menghalangnya daripada membuat keputusan. Maka pada hakikatnya, sama ada dengan persetujuan Senate atau tidak, keputusan raja sentiasa lulus dan dilaksanakan. Dengan ini, persetujuan Senate pada keputusan diraja hanya sebagai menjadikannya kelihatan rasmi dan mengikut prosedur adat.

Namun golongan Senate mula menjadi sangat berpengaruh sepanjang era Republik dan memainkan satu peranan yang cukup besar dan penting dalam sejarah ketamadunan Rome. Hakikatnya golongan Senate inilah yang telah membawa Rome menuju kemuncak kegemilangannya sebagai kuasa politik dan ketenteraan yang terunggul dalam sejarah Eropah.

Kesimpulan

Fasa kerajaan Rome yang merupakan fasa yang dilalui oleh Rome sebelum penubuhan Republik sebenarnya satu fasa yang penting. Kerana sewaktu fasa inilah, kota Rome dan penduduknya, iaitu bangsa Roman sedang menjalani proses pembentukan identiti mereka sebagai sebuah badan masyarakat yang unik dan tersendiri dibandingkan dengan masyarakat dan bangsa-bangsa lain yang mendiami semenanjung tanah Italy ketika itu. Mereka membentuk adat resam dan tradisi mereka yang tersendiri yang diambil sebagai modal contoh ikutan bagi generasi-generasi Roman yang seterusnya.

Sepanjang fasa ini, hasil gerak kerja dan langkah-langkah reformasi yang dijalankan oleh raja-raja Roman yang tersenarai di sini, Rome yang pada permulaannya hanya sebuah perkampungan kecil yang cuma terdiri dari rumah-rumah kayu dengan atap-atap yang bertampal berkembang kepada sebuah kota yang mempunyai diding pertahanan di sekelilingnya, masyarakatnya hidup dengan mempunyai organisasi yang bersistematik dan kota Rome dilengkapi dengan beberapa kemudahan infrastruktur asas serta bangunan-bangunan keagamaan atau kuil-kuil terpenting didirikan, yang didedikasikan kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Roman. Ritual (upacara-upacara) keagamaan penting juga ditubuhkan di zaman ini.

Ini memberikan kota Rome dan penduduknya satu identiti, perasaan harga diri dan nilai-nilai kemasyarakatan yang telah dipercayai oleh bangsa Roman sendiri sebagai telah memainkan peranan cukup besar dalam memacu tamadun mereka kepada kegemilangan. Mereka berpegang teguh kepada adat resam, tradisi, kepercayaan dan nilai-nilai ini dan mengaitkannya kepada kejayaan dan kegemilangan mereka. Namun kebanyakan maklumat sejarah mengenai apa yang berlaku di fasa kerajaan ini tidak pernah direkodkan dengan sempurna. Ini kerana orang-orang Roman pada ketika ini tidak mempunyai tradisi menulis atau mencatit maklumat mengenai apa yang berlaku dalam kehidupan mereka. Kebanyakan dari kisah-kisah yang diketahui ketika zaman kerajaan ini bercampur dengan mitos-mitos dan dongeng keperwiraan yang dipegang oleh orang-orang Roman dan disebarkan dari mulut ke mulut.

No comments:

Post a Comment

Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Rom: Peristiwa Penculikan Dan Pemerkosaan Wanita-wanita Sabine

Ada dua peristiwa yang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan sejarah permulaan dan pengakhiran kerajaan Rome. Kedua-duanya dikaitkan d...