Disediakan sepenuhnya oleh Ahmad Dailami Fauzi
Berbeza dengan perluasan kuasa empayar-empayar dunia yang lain seperti empayar Parsi dan empayar Greek yang dilakar oleh Alexander The Great, perluasan kuasa Rom berlaku bukan di atas dasar merebut kuasa atau harta kekayaan atau menunjukkan yang mereka mempunyai kehebatan ketenteraan. Atau sekurang-kurangnya semua itu bukanlah matlamat utama mereka. Sebaliknya kerana dalam sejarahnya, Rom telah menghadapi satu siri konflik yang panjang dan rumit dengan kota-kota lain yang melihat kemajuan Rom sebagai ancaman, lalu memaksa Rom untuk bertindak menggempur dan menawan daerah-derah yang didiami mereka.
Bermulanya konflik-konflik ini seawal ketika di zaman kerajaan Roman, namun kemuncaknya bermula ketika di era Roman Republic, sewaktu Rom mengamalkan satu sistem politik unik yang dinamakan 'Republik' sebagai menggantikan sistem pentadbiran beraja (monarki). Era ini menyaksikan saat-saat getir bila mana Rom telah diancam dari pelbagai sudut, antaranya satu peristiwa ketika mana Kota Rom itu sendiri telah diserang dan hampir ditawan oleh orang-orang gasar (barbarians) yang berasal dari Gaul (kini negara moden Perancis) yang turun ke Itali dari sebelah utara.
Hakikatnya Rom terpaksa bangkit dan bertindak balas menghadapi ancaman-ancaman ini, di mana jika mereka tidak menghantar angkatan-angkatan perang untuk menghadapi musuh, musuh-musuh ini pula akan datang dan menghancurkan Rom. Dalam proses bertindak balas ini, Rom tidak dapat mengelak daripada menawan daerah-daerah musuhnya dan dengan itu terjadilah perluasan kuasanya yang sebenarnya tidak dirancang sama sekali.
Untuk memahami bagaimana sebenarnya perluasan kuasa Rom berlaku, perlu difahami terlebih dulu bahawa seluruh garis waktu yang mewakili perjalanan ketamadunan Rom terbahagi kepada tiga peringkat, iaitu 1) Kerajaan Rom, 2) Republik Rom dan 3) Empayar Rom.
► Kerajaan Roman [ Roman Kingdom ] (753 SM—509 SM): Rom sebagai sebuah kerajaan yang pentadbirnya seorang individu bergelar raja. Bermula ketika Rom diasaskan pada tahun 753 SM oleh dua orang kembar Romus dan Remulus. Adapun cerita mengenai asal usul mereka sebahagian besarnya bersandarkan mitos masyarakat Roman[1]. Menurut mitos ini, Romus dan Remulus telah bertengkar mengenai kedudukan yang sesuai untuk kota baru yang ingin mereka tubuhkan ini. Dalam pertengkaran tersebut, Remulus telah membunuh kembarnya, Romus, lalu menjadi pengasas tunggal Rom.
Di awal fasa kerajaan, Rom tidak lebih dari sebuah perkampungan kecil yang terletak di tebing sungai Tiber berhampiran pesisiran Barat Itali. Tiada keistimewaan dan keutamaan pada Rom ketika ini melainkan segugusan pondok-pondok kayu dengan atap yang bertampal-tampal. Ini satu kenyataan yang paling menakjubkan tentang ketamadunan Roman, iaitu permulaannya yang begitu sederhana.
Era kerajaan menyaksikan Rom diperintah oleh raja-raja Roman. Ini bermaksud Rom mengamalkan sistem pentadbiran monarki dimana kuasa mutlak diperuntukkan kepada seorang individu tunggal yang digelar 'raja' (Latin: rex). Raja Roman merupakan pemerintah tertinggi Rom yang bertanggungjawab dalam segala urusan pentadbiran kota, dibantu oleh satu badan penasihat yang digelar Senat. Dibentuk pertama kalinya oleh raja Rom yang pertama dan juga pengasasnya sendiri, Remulus, perkataan Senat atau Latin 'senatus' berasal dari perkataan Latin 'senex' yang bermaksud orang tua. Senat Roman boleh disifatkan sebagai satu badan pengasihat yang terdiri dari orang-orang tua yang bijaksana dan berpengalaman, umpama apa yang disebut dalam bahasa Inggeris sebagai council of the elders. Anggota Senat dipilih dari ketua-ketua yang memimpin setiap pecahan kabilah yang mewakili penduduk jati Rom. Ketika era kerajaan ini, Senat mempunyai skop peranan yang amat kecil dan terbatas. Mereka tidak mempunyai apa-apa fungsi yang signifikan kecuali sebagai badan penasihat yang diseru oleh raja untuk mendapatkan nasihat apabila raja ingin membuat keputusan-keputusan penting. Namun hakikatnya keputusan seorang raja Roman tidak dibantah dan Senat kebiasaannya hanya membenarkannya sahaja.
Namun golongan Senat bakal memegang kuasa yang cukup besar dalam pentadbiran Rom dan satu peranan yang tidak dapat diabaikan kepentingannya dalam sejarah Rom setelah fasa kerajaan berakhir dan Rom memasuki fasa seterusnya, yakni fasa Republik. Hakikatnya, Senat-lah yang telah memainkan peranan dalam melonjakkan Rom ke kemuncak kegemilangannya sebagai kuasa politik dan ketenteraan yang terunggul dalam sejarah Eropah silam.
Rom melalui fasa kerajaan selama 250 tahun bermula penubuhannya pada 753 SM hingga 509 SM ketika raja terakhir mereka ditumbangkan akibat salah laku dan kezalimannya sendiri. Semenjak itu, orang-orang Roman berikrar untuk menghapuskan sistem monarki dari hidup mereka buat selama-lamanya dan tidak akan membenarkan lagi seorang individu tunggal bergelar 'raja' memegang kuasa untuk memerintah mereka kerana mereka takutkan begitu banyak kezaliman dan kejahatan yang boleh dibuat apabila kuasa penuh diberi kepada seorang individu sahaja.
► Republik Roman [ Roman Republic ] (509 SM—27 SM): Rom menjadi sebuah kuasa Republik. Setelah raja terakhir mereka ditumbangkan dan fasa kerajaan berakhir, kuasa berpindah kepada golongan Senat yang sebelumnya hanya berperanan sebagai badan penasihat diraja. Sebagai ganti kepada pentadbiran monarki yang telah ditumbangkan, mereka mencipta satu sistem pentadbiran yang mengamalkan konsep pembahagian dan pemisahan kuasa, dimana kuasa tidak lagi dipusatkan hanya kepada seorang individu, tapi sebaliknya dibahagikan kepada bahagian-bahagian pentadbiran yang berbeza dimana setiap bahagian memainkan peranannya yang tersendiri.
Bahagian-bahagian terutama yang membentuk struktur pentadbiran Republik ialah:
1. Senat Roman (Roman Senate). Senat merupakan badan pentadbir agung Republik yang memegang peranan sebagai penasihat pentadbiran dan penggubal undang-undang. Mereka telah wujud semenjak zaman kerajaan Roman lagi, sebagaimana yang telah disebutkan dalam bahagian kerajaan Roman di atas. Namun hanya ketika era Republik mereka menjadi begitu berkuasa dan memegang peranan terpenting dalam sejarah Roman.
2. Majistret Roman atau pegawai-pegawai tadbir (Roman Magistrates). Sekumpulan pegawai yang memegang berbagai peranan dalam menjalankan urusan-urusan seharian pentadbiran dengan dinasihati oleh Senat. Mereka boleh diumpamakan seperti menteri-menteri yang memegang pelbagai peranan dan portfolio dalam kebanyakan kerajaan moden pada hari ini.
3. Perhimpunan-perhimpunan rakyat Roman (Assemblies of the Roman people, Roman assemblies atau sekadar assemblies). Rakyat sendiri diberi kuasa dan hak untuk bersuara dalam meluluskan undang-undang dan keputusan-keputusan penting kerajaan, umpama pengisytiharan perang, perlantikan jawatan-jawatan pegawai magistrates dan lain-lain. Walaupun begitu, kuasa ini adalah amat kecil dan terbatas.
Era Republik merupakan tempoh waktu yang paling aktif dan agresif dalam sejarah Roman. Ketika ini kota Rom telah menghadapi ancaman-ancaman dalaman dan juga luaran. Berbagai-bagai konflik berlaku antara Rom dengan kota-kota berjiranan dan dari daerah-daerah lain di semenanjung tanah Itali—yang mendorong Rom melancarkan kempen-kempen ketenteraan bagi menghadapi mereka.
Kemudian selain konflik luaran, Rom juga telah ditekan oleh masalah dalaman. Antaranya konflik yang berlaku antara dua kelas utama rakyat Roman dengan kedudukan yang berbeza, yakni golongan bangsawan dan aristokrat, mereka ini digelar patricians dan golongan rakyat awam, mereka ini digelar plebeians (atau singkatannya plebs).
Golongan bangsawan aristokrat (patricians) merupakan pemilik kebanyakan tanah dan ladang di Rom. Sumber utama kekayaan mereka datang dari ini. Mereka juga mempunyai kelebihan dan hak istimewa dalam arena politik dan pentadbiran Rom yang tidak diberi kepada golongan awam (plebeians). Namun, mereka berada dalam bilangan yang kecil dan hanya minoriti rakyat Roman.
Adapun golongan awam, mereka merupakan golongan petani yang berkerja di bawah tuan-tuan tanah dari kalangan golongan aristokrat ini. Mereka merupakan majoriti rakyat Roman. Sesiapa saja yang bukan bergelar patricians (bangsawan aristokrat), mereka ialah plebeians (rakyat awam).
Golongan awam ini telah dinafikan sama sekali hak untuk melibatkan diri dalam politik dan memegang jawatan-jawatan pentadbiran. Ini telah menyebabkan mereka merasa dizalimi, lalu bangkit mencabar kuasa golongan aristokrat untuk mendapat kedudukan yang sama. Berlaku pergolakan yang panjang dan meruncing. Peristiwa pergolakan antara golongan aristokrat dan rakyat awam ini disebut Conflict of The Order dan telah membawa impak yang amat besar, penting dan mendalam terhadap sejarah dan perkembangan masyarakat Roman di era Republik.
► Empayar Roman [ Roman Empire/Imperial Rom ] (27 SM—476M): Rom menjadi empayar secara rasminya. Ketika fasa Republik sebelumnya, Rom telah pun menjalankan perluasan kuasanya dan ia telah selesai menawan seluruh daerah di semenanjung tanah Itali serta berbagai kawasan-kawasan penting di Barat dan Timur Eropah. Namun, Rom belum diperintah oleh seorang maharaja (Roman emperor) dan belum dianggap secara rasminya sebagai sebuah empayar.
Konflik demi konflik dan pergolakan dalaman yang berlaku sepanjang era Republik telah melemahkan struktur Republik hingga ia gagal berjalan sebagaimana yang telah menjadi tradisi sebelumnya dan akhirnya membawa kepada keruntuhan Republik. Pertentangan yang berlaku antara golongan patricians dan plebeians, dua kelas utama rakyat Roman yang telah pun disebutkan sebelumnya semakin meruncing apabila rakyat awam yang disebut plebeians ini terus menerus menuntut hak mereka yang telah dinafikan oleh golongan patricians dan mencabar kuasa patricians melalui pegawai-pegawai khas yang mereka lantik untuk mewakili mereka, yang digelar Tribunes of the Plebs (tribunis awam). Pegawai tribunis awam ini diberikan kuasa oleh golongan awam untuk melindungi mereka daripada dizalimi oleh golongan patricians. Mereka juga diberi dengan kuasa khas yang disebut kuasa veto, iaitu kuasa yang membolehkan mereka membatalkan (memveto) arahan, keputusan dan rang undang-undang yang dikeluarkan oleh Senat.
Kemudian tokoh-tokoh Roman berpengaruh besar seperti Julius Caesar, Crassus dan Pompey berjaya mencari cara untuk membina pengaruh mereka melalui kuasa tentera. Mereka membentuk pasukan tentera peribadi mereka sendiri yang mereka latih secara khas. Tentera ini akan menumpahkan taat setia kepada pemimpin-pemimpin (general) mereka masing-masing dan bukannya kepada Senat. Tokoh-tokoh pemimpin in telah bertindak membuat keputusan sendiri, bersaing sesama sendiri, melanggar peraturan Republik serta mengabaikan arahan Senat. Akibatnya, golongan Senat kehilangan kuasa, struktur Republik menjadi lemah dan akhirnya runtuh akibat perang saudara yang berlaku antara general-general ini.
Sehinggalah seorang general dan ahli politik Roman yang berbakat, Gaius Octavius, biasa dipanggil Octavius, Octavian atau Octavianus telah berjaya menamatkan perang saudara ini dan mengembalikan keamanan. Bersebabkan kejayaannya, Octavius diangkat sebagai wira dan dilantik sebagai pemerintah agung Rom (the supreme ruler of Rom) dan seluruh daerah jajahannya. Beliau dianugerahkan dengan gelaran augustus yang bermaksud yang termulia dan sekaligus menjadi apa yang disebut dalam bahasa kita sebagai maharaja (emperor). Maka Rom memasuki fasa terakhir dalam sejarah kegemilangannya, iaitu fasa empayar. Berbagai perkara menarik mengenai Rom sebagai sebuah kuasa empayar juga akan dibincangkan kemudian.
[1]. Dikatakan Romus dan Remulus berasal dari keturunan putera Trojan yang bernama Aeneas yang melarikan diri bersama pengikut-pengikutnya setelah perang Trojan berakhir dengan kemusnahan Kota Troy. Kisah mengenai perang Trojan terjadi dalam sejarah orang-orang Greek purba ratusan tahun sebelum penubuhan Rom. Ketamadunan Greek purba berasal usul dari tanah Greece (Greece mainland) di sebelah Timur Eropah. Ia merupakan satu lagi ketamadunan penting yang mempunyai impak yang cukup besar kepada hala tuju dan masa depan Eropah selain ketamadunan Rom.
No comments:
Post a Comment