Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Sedikit Sebanyak Mengenai Struktur Geografi Semenanjung Tanah Itali

Semenanjung tanah Itali (Italian peninsula) merupakan sebuah negara yang berbentuk seperti sepatu, bersambung dengan benua Perancis (pada hari ini disebut France, nama silamnnya ialah Gaul) dan terjulur keluar ke sebelah tenggara. Dari sebelah utaranya ada jalur pergunungan Apennines yang menjulur hingga ke selatannya, membahagikan Itali menjadi dua bahagian dan memecahkan Itali menjadi dataran-dataran (kawasan rendah) yang berbeza.

Di sebelah barat jalur pergunungan Apennines, ada dataran Etruria, kawasan di mana ketamadunan silam yang paling hebat dan gemilang di semenanjung tanah Itali, iaitu ketamadunan Etruscan, bermula. Di atas dataran ini terletaknya kota-kota yang didiami oleh bangsa Etruscan. Bangsa Estruscan merupakan bangsa yang telah mendahului kewujudan Rome sebagai tamadun yang dominan di Itali. Mereka dikatakan telah mendiami Itali semenjak sekitar 200 tahun sebelum Rome ditubuhkan. Rome sendiri amat dipengaruhi oleh kesenian dan kebudayaan Etruscan. Malah tiga orang raja terakhir yang memerintah Rome sewaktu era kerajaan Rome (Roman Kingdom) adalah dari bangsa Etrusan.

Di bawah Etruria pula terdapat dataran Latium, tempat di mana terletaknya kota Rome itu sendiri bersama kota-kota jirannya—iaitu segugusan kota-kota yang pada suatu masa membentuk satu perikatan yang disebut liga Latin. Konflik yang berlaku antara kota Rome dengan kota-kota dalam liga Latin ini telah mewarnai perjalanan sejarah Rome sebagai kuasa Republik, ketika mana Rome telah berjaya menundukkan seluruh tanah Itali, menjadi kuasa yang dominan di Mediterranean, seterusnya berjaya menjadi empayar yang menyatukan majoriti Eropah di bawah pentadbirannya, di atas nama Senat dan Orang-orang Rome (Latin: Senatus Populusque Romanus, eng: The Senate and the People of Rome). (Rujuk penulisan 5).

Di sebelah Selatan lagi ada dataran Campania. Campania dikira telah termasuk dalam had kawasan selatan Itali yang disebut Magna Graecia (eng: Great Greece, my: Greece Besar). Kawasan ini diduduki oleh orang-orang Greek yang bermigrasi ke Itali sewaktu berlakunya migrasi besar-besaran akibat daripada bencana alam dan faktor perdagangan [1].

Adapun di sebelah Timur jalur pergunungan Apennines, terdapat kawasan yang disebut Umbria, tempat tinggalnya orang-orang Umbri, satu suku kaum dari kalangan penduduk jati tanah Itali. Orang-orang Umbri ini bermusuhan dengan bangsa Etruscan dan setelah Rome berjaya menakluki dataran Etruria dan menghapuskan pengaruh Etruscan, mereka membantu pula orang-orang Samnite untuk menentang Rome.

Kemudian ada Samnium, tempat di mana orang-orang Samnite, yang juga terlibat dengan tiga siri konfrontasi ketenteraan yang bersejarah dengan Republik Rome yang disebut Samnites Wars, iaitu Perang Samnite Pertama (The First Samnite War, 343-341 BCE), Kedua (The Second Samnite War, 326-304 BCE) dan Ketiga (The Third Samnite War, 298-290 BCE).


[1]. Hal ini akan dibincangkan dalam topik sejarah ketamadunan Greek, yang juga akan saya cuba sediakan di masa akan datang Insya-Allah. Ini kerana ketamadunan Greek silam merupakan satu lagi ketamadunan yang telah meninggalkan impak yang cukup besar dan mendalam kepada perjalanan sejarah Eropah. Ia mempunyai kaitan yang cukup penting dan rapat dengan ketamadunan Rome kerana orang-orang Rome dikatakan amat menyanjungi bahasa, falsafah, pemikiran, hasil seni dan kebudayaan Greek. Mereka telah mengambilnya, memeliharanya dengan tekun dan menerapkannya ke dalam kehidupan mereka hingga ketamadunan Rome juga begitu banyak dipengaruhi oleh ketamadunan Greek.

No comments:

Post a Comment

Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Rom: Peristiwa Penculikan Dan Pemerkosaan Wanita-wanita Sabine

Ada dua peristiwa yang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan sejarah permulaan dan pengakhiran kerajaan Rome. Kedua-duanya dikaitkan d...