Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Rom: Peristiwa Penculikan Dan Pemerkosaan Wanita-wanita Sabine

Ada dua peristiwa yang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan sejarah permulaan dan pengakhiran kerajaan Rome. Kedua-duanya dikaitkan dengan pemerkosaan atau apa yang disebut dalam bahasa Inggeris sebagai 'rape'. Walaupun ini tidak memberi satu impresi yang begitu baik kepada imej Rome, namun peristiwa-peristiwa ini mempunyai sebab, kepentingan dan impak yang mendalam kepada perjalanan sejarah Rome. Justeru, penceritaannya tidak boleh diabaikan.

Dua siri peristiwa ini merupakan legenda yang tercatat dalam sejarah kerajaan Rome, diingati dan dipelihara oleh orang-orang Rome kerana ia membawa satu kesan dan pengaruh yang penting pada identiti dan pemikiran bangsa Rome. Perkara ini akan dibincangkan dalam penulisan yang akan datang.

Peristiwa-peristiwa yang dimaksudkan yang dimaksudkan ialah:-

1. Peristiwa pemerkosaan wanita-wanita Sabine—yang berlaku sejuruh selepas penubuhan kota Rome, menandakan bermulanya fasa kerajaan Rome dan kota ini mula berupaya menghasilkan populasi dan keturunan. Bayi-bayi yang dilahirkan oleh hasil hubungan wanita-wanita Sabine yang diculik ini dengan kaum lelaki Roman menjadi sebahagian besar populasi awal Rome. Peristiwa ini yang akan diceritakan dalam penulisan ini.

2. Dan peristiwa pemerkosaan Lucretia, seorang wanita bangsawan, yang membawa kepada raja terakhir Rome, Lucius Tarquinius Superbus digulingkan oleh rakyat Rome. Kesudahannya, fasa kerajaan Rome berakhir, dan Rome bermula dengan fasa baru sebagai kuasa Republik. Peristiwa ini akan diceritakan dalam penulisan akan datang.


PERMULAAN

Walaupun menurut sejarawan Roman, Livy, peristiwa pemerkosaan wanita-wanita Sabine ini bentuknya lebih kepada penculikan[1], terdapat isyarat-isyarat yang menunjukkan berlaku sesuatu yang lebih dari itu. Mereka juga mengatakan peristiwa ini bukan berlaku atas dasar memuaskan nafsu serakah, tapi lebih kepada mewujudkan satu pertalian dengan kaum Sabine. Sejarawan Roman, Plutarch, mengatakan hanya gadis-gadis yang diculik, kecuali seorang wanita yang telah berkahwin bernama Hersilia, dimana mereka mengatakan ini ialah satu ketidaksengajaan.

Secara asasnya, bangsa Sabine merupakan salah satu dari bangsa-bangsa awal penetap Italy yang tinggal di pertengahan pergunungan Apennines dan sebahagiannya tinggal di utara dataran Latium, berhampiran dengan Rome sendiri.

Dikatakan sejurus selepas penubuhan Rome, Romulus mengalu-alukan pendatang dari pelbagai latar kehidupan untuk menetap di kota baru ini. Antara mereka, ada golongan hamba, pelarian dan penyamun. Namun mereka serta-merta berdepan dengan satu krisis kemasyarakatan. Jumlah kaum lelaki mereka jauh lebih ramai dari perempuan.

Kekurangan kaum wanita ini membawa satu masalah besar kepada Rome yang perlu diselesaikan dengan segera. Mereka perlu melangsungkan keturunan mereka melalui zuriat dan memastikan Rome dapat terus maju dengan populasi yang mencukupi untuk dekad-dekad yang seterusnya.

Sebagai penyelesaiannya, Romulus cuba menggunakan pendekatan mewujudkan hubungan diplomatik dengan jiran-jiran Rome, yakni bangsa-bangsa yang tinggal berdekatan dan meminta hak untuk berkahwin dengan wanita-wanita mereka. Namun utusan-utusan yang dihantar kepada kawasan-kawasan ini gagal apabila bangsa-bangsa yang menetap di situ tidak begitu berminat untuk melayan permintaan Rome. Malah mereka merasa khuatir bahawa Rome akan menjadi maju dan kebangkitannya pasti membawa ancaman kepada mereka di masa akan datang.

Akibatnya, Romulus mengambil satu pendekatan yang lebih drastik untuk menyelesaikan masalah ini. Beliau mengadakan satu majlis keramaian yang meriah dan menjemput penduduk dari bandar-bandar berdekatan yang terdiri dari pelbagai bangsa dan suku kaum yang tinggal berhampiran untuk menghadirinya. Antara mereka yang hadir termasuk bangsa-bangsa Caeninenses, Crustumini, Antemnates dan juga ramai dari kalangan bangsa Sabine, termasuk wanita-wanitanya. Mereka ini semua bangsa-bangsa yang telah mendiami tanah Italy sebelum kewujudan Rome lagi.

Romulus melihat peluang yang sesuai lalu memberikan isyarat agar lelaki-lelaki Rome menangkap kaum wanita Sabine yang sedang bersama meraikan majlis tersebut dan melawan kaum lelaki mereka. Menurut keterangan Livy, tiada paksaan sebenar berlaku, sebaliknya Romulus berbicara dengan setiap seorang mereka dan memujuk mereka untuk menjadi isteri kepada lelaki-lelaki Rome dan menawarkan mereka tempat tinggal serta harta. Walaupun enggan pada mulanya, mereka tidak mempunyai pilihan.


ROME MENGHADAPI PEPERANGAN DENGAN BANGSA-BANGSA JIRANNYA

Walaupun berkemungkinan niat sebenar di sebalik penculikan ini hanya untuk mewujudkan pertalian yang baik dengan bangsa Sabine, namun perkara sebaliknya berlaku. Jelasnya perbuatan kaum lelaki Roman yang menculik wanita-wanita mereka membuatkan mereka menjadi marah. Lalu mereka mengisytiharkan perang terhadap Rome. Bangsa-bangsa Caeninenses, Crustumini dan Antemnates memimpin pasukan tentera mereka masing-masing untuk menentang pasukan Rome yang dipimpin oleh Romulus, namun Romulus telah berjaya mengalahkan mereka semuanya dan menawan bandar-bandar mereka.

Beberapa tahun setelah itu, bangsa Sabine juga turut terlibat dengan peperangan menentang Rome. Raja Sabine yang bernama Titus Tatius memimpin pasukannya menuju ke Rome dan hampir-hampir berjaya menawannya. Ini berpunca dari satu pembelotan yang dilakukan seorang gadis Roman yang bernama Tarpeia, puteri kepada pemimpin Roman, Spurius Tarpeius, yang merupakan gabenor yang bertanggungjawab ke atas kubu Rome di bukit Capitoline (Rujuk penulisan 3). Tarpeia membuka pintu gerbang kota dan membenarkan askar-askar Sabine masuk. Sebagai gantinya, beliau meminta gelang emas yang dipakai oleh askar-askar Sabine ini di lengan kiri mereka. Maka motifnya ialah ketamakan harta. Namun apa yang berlaku ialah setelah mereka masuk, mereka memukul Tarpeia dengan perisai-perisai mereka hingga mati dan mencampakkan jasadnya daripada seketul batu di atas satu cenuram. Semenjak dari itu, batu tersebut dinamakan bersempena namanya, Saxum Tarpeium (Eng: 'Tarpeian Rock').

(Di masa seterusnya, Tarpeia diangkat sebagai simbol pengkhianatan dan ketamakan dalam kalangan bangsa Rome).

Barisan pertahanan Roman pula dipimpin oleh lelaki bangsawan dan general Roman yang terbilang bernama Hostus Hostilius[2]. Sedangkan askar-askar Sabine dipimpin oleh Mettus Curtius. Hostus bertempur dengan beraninya namun gugur, menyebabkan barisan askar Roman berpecah, terpaksa memberi laluan dan berundur ke pagar Palatium yang terletak di bukit Palatine. Romulus menyusun semula barisan tenteranya dengan memberi kata semangat kepada mereka dengan janjinya untuk membina sebuah gereja bagi dewa Jupiter di tapak itu[3]. Kemudian beliau memimpin pasukan tenteranya kembali ke medan pertempuran. Askar-askar Rome bertempur dengan begitu beraninya hingga askar-askar Sabine mengalami kekalahan, Mettus Curtius dijatuhkan dari kudanya dan terpaksa melarikan diri di atas tanah. Barisan pertahanan Roman telah hampir menemui kemenangan.


RAYUAN WANITA-WANITA SABINE

Di tengah-tengah pertempuran yang semakin hangat, ketika mana kemenangan hampir berpihak kepada Rome, wanita-wanita Sabine yang telah diculik sebelumnya, kini hasil perhubungan dengan suami-suami mereka yang berbangsa Roman, telah pun mempunyai anak-anak, tidak sanggup menyaksikan bagaimana bapa-bapa mereka dari bangsa Sabine berterusan tikam-menikam dengan suami-suami mereka.

Mereka berada dalam dilemma. Mereka tidak mahu kehilangan ayah-ayah mereka dan dalam masa yang sama tidak juga suami-suami mereka hingga meninggalkan anak-anak mereka yang masih kecil menjadi segerombolan anak-anak yatim.

Lalu wanita-wanita ini melontarkan diri mereka di tengah-tengah medan pertempuran yang sedang berkecamuk, di tengah-tengah pedang, lembing, perisai dan anak-anak panah yang berterbangan, sambil menggendong anak-anak mereka. Kemudian mereka menangis dan merayu agar kedua-dua belah pihak menghentikan pertempuran.

Mereke merayu kepada suami-suami mereka dari pihak Roman, dan kepada bapa-bapa mereka dari pihak Sabine, bahawa sebagai menantu dan mertua antara satu sama lain, apabila telah wujud hubungan darah, dimana anak-anak yang mereka kendong itu ialah cucu kepada ayah-ayah mereka, maka mereka tidak seharusnya menumpahkan darah secara keji begini.

Sejarawan Livy merekodkan apa yang diperkatakan oleh wanita-wanita ini kepada kedua pihak:-

"Jika kalian tidak menyukai hubungan ini, jika perkahwinan kami ini membuatkan kalian berdendam dan bersengketa, jika kami menjadi punca kepada luka dan tumpahnya darah antara kalian, adalah lebih baik kami mati daripada hidup menjanda setelah kehilangan suami atau yatim setelah kehilangan ayah".

Hasil rayuan ini, pertempuran ini menemui pengakhirannya. Kedua-dua belah pihak akhirnya bersetuju untuk berdamai dan bangsa Sabine bersetuju untuk menyatu dengan orang-orang Roman. Raja Sabine, Titus Tatius, memerintah bersama Romulus hinggalah kematian Tatius lima tahun setelahnya.


[1]. Perkataan Inggeris 'rape' itu sendiri—yang digunakan untuk merujuk kepada 'rogol' atau 'memperkosa' berasal dari perkataan bahasa Latin, bahasa jati orang-orang Rome, iaitu 'raptio' yang bermaksud penculikan. Ia tidak semestinya membawa konotasi memaksa melakukan hubungan seksual.

[2]. Hostus Hostilius berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Hersilia, cucunya, iaitu Tullus Hostilius merupakan raja Rome yang ke-3 setelah Romulus dan Numa Pompilius. (Rujuk penulisan 4).

[3]. Romulus membuat janji untuk membina gereja bagi dewa Rome, Jupiter, sebagai pembangkit semangat bagi askar-askarnya untuk terus bertempur.

Agama dan kepercayaan merupakan salah satu dari aspek penting yang telah bersebati dalam identiti masyarakat Rome. Mereka mempunyai kepercayaan yang teguh terhadap tuhan-tuhan mereka, atau dewa dan dewi mereka (Roman gods and goddeses). Kepercayaan ini bukan saja melambangkan identiti bangsa mereka, tapi juga simbol kemegahan dan pembangkit semangat ketika bertempur di medan perang. Pembinaan bangunan-bangunan keagamaan seperti gereja-gereja (temples) yang didedikasikan untuk dewa dan dewi ini dan upacara-upacara keagamaan amat dititikberatkan sebagai memastikan orang-orang Rome terus kekal dengan semangat dan identiti diri yang dibentuk sepanjang era awal Rome—yakni ketika mana Rome mula-mula ditubuhkan hingga pengakhiran fasa kerajaan.

Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Rom: Peristiwa Penculikan Dan Pemerkosaan Wanita-wanita Sabine

Ada dua peristiwa yang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan sejarah permulaan dan pengakhiran kerajaan Rome. Kedua-duanya dikaitkan d...