Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Berakhirnya Kerajaan Roman dan Rom Muncul Sebagai Kuasa Republik: Kesimpulan

Disediakan sepenuhnya oleh Ahmad Dailami Fauzi.

Tulisan ini sambungan daripada Peristiwa Pemerkosaan Lucretia, Penggulingan Raja Rome Terakhir, Berakhirnya Kerajaan Rome Dan Rome Muncul Sebagai Kuasa Republik, Bahagian I dan Bahagian II

✓ Peristiwa pemerkosaan Lucretia telah meninggalkan impak yang cukup mendalam kepada jiwa dan identiti masyarakat Roman. Perbuatan Lucretia yang menikam dirinya sendiri kerana merasakan dirinya telah dicemari dipandang mulia oleh orang-orang Roman kerana menunjukkan yang beliau begitu menghargai kesuciannya—atau dalam istilah Roman (bahasa Latin) disebut pudicitia. Pudicitia merupakan salah satu nilai-nilai kemasyarakatan yang penting bagi orang-orang Roman, terutamanya wanita-wanita mereka. Lucretia telah menjadi simbol wanita Roman yang ideal dan menjadi contoh ikutan mereka dalam soal penjagaan maruah diri, pengurusan rumah tangga dan kekeluargaan kerana ketekunannya dalam menjaga kediaman suaminya ketika sedang keluar berperang, berbanding isteri-isteri kepada askar-askar Roman yang lain seperti yang tertera dalam kisahnya yang telah diceritakan dalam dua penulisan di atas.

✓ Setelah Superbus dan keluarganya (keluarga Tarquin) diusir dari Rome, peristiwa kekejaman mereka ini menjadi memori hitam yang kekal terpahat dalam ingatan masyarakat Roman. Mereka bertekad untuk tidak lagi membenarkan apa jua bentuk kezaliman dan salah laku yang berpunca dari seorang individu memegang kuasa penuh di tangannya. Hasilnya masyarakat Roman menjadi seolah-olah fobia dengan gelaran raja. Malah salah satu dari undang-undang bertulis Republik yang bakal diwujudkan di kemudian hari menetapkan tidak ada sesiapa yang boleh memegang gelaran raja lagi buat selama-lamanya.

✓ Tarikh rasmi penubuhan Republik Rome adalah pada 509 BCE, sejurus selepas peristiwa pemerkosaan Lucretia dan penggulingan rajanya yang terakhir, Superbus. Sebelum memimpin pemberontakan menggulingkan Superbus, Brutus, yang merupakan salah seorang dari dua pengasas Republik, telah terlebih dulu memanggil perhimpunan rakyat Roman bagi membincangkan bagaimana sistem pentadbiran baru yang sesuai untuk menggantikan tradisi beraja ini. Mereka telah bersetuju untuk menamakan sistem ini sebagai republic.

✓ Setelah kehilangan takhtanya, Superbus tidak mengalah dengan mudah. Beliau bertekad untuk mendapatkan semula takhtanya. Beliau dikatakan telah meminta bantuan dari Lars Porsena, raja Etruscan yang memerintah Clusium, salah sebuah kota Etruscan yang terletak di dataran Etruria di utara Italy untuk membantunya menawan kembali Rome. Porsena bersetuju dan memimpin pasukan tenteranya menuju ke Rome dan mengepung Rome untuk beberapa ketika. Ketika inilah berlakunya peristiwa keberanian dan keperwiraan beberapa tokoh Roman seperti Horatius Cocles, Gaius Mucius Scaevola (sebutan: scay-wola) dan seorang wanita Roman bernama Cloelia (sebutan: cloy-lia).

Sikap yang ditonjolkan oleh mereka ini membuatkan Porsena menjadi begitu kagum dengan keberanian dan semangat orang-orang Roman dan akhirnya memutuskan untuk membatalkan peperangan tersebut. Apa yang dilakukan oleh mereka akan diceritakan di masa akan datang.

✓ Perkataan republic berasal dari perkataan Latin res yang bermaksud kuasa dan publica yang bermaksud orang (kuasa di tangan orang/rakyat). Dinamakan begini kerana rakyat diberikan kuasa untuk bersuara dalam menentukan bagaimana negara mereka harus ditadbir.

✓ Tujuan penubuhan Republik adalah untuk mengelakkan daripada mana-mana individu tunggal memegang kuasa yang terlalu besar dan untuk tempoh yang terlalu lama sehingga mereka bebas melakukan apa saja dan menyalah guna kuasa. Ini bagi mengelakkan bentuk-bentuk salah guna kuasa, kezaliman dan penindasan oleh pemerintah. Peraturan ini menjadi ciri dan identiti yang terpenting Republik, di mana matlamat terutama penubuhan Republik adalah untuk meninggalkan sistem kuasa berpusat tunggal seperti sistem beraja (monarki) Roman yang diamalkan sebelumnya, ketika kuasa dipusatkan hanya kepada seorang individu tunggal yang bergelar 'raja'.

✓ Republik Rome menerapkan sistem pengurusan kuasa berasaskan prinsip check and balance (i.e. semak dan seimbang). Kuasa dibahagikan kepada tiga badan-badan utama pentadbiran yang mana setiap badan saling menyemak dan menterhadkan fungsi, peranan dan perlakuan badan-badan yang lainnya hingga membentuk pengurusan kuasa yang seimbang, di mana tidak ada seorang individu tunggal mahupun institusi yang memegang kuasa mutlaq. Badan-badan yang membentuk struktur politik Republik Rome ialah Senate, iaitu penasihat agung Republik, pegawai-pegawai eksekutif Republik yang bertanggungjawab melaksanakan urusan-urusan dan mengawasi pelbagai aspek pentadbiran harian kota, mereka ini digelar magistrates dan Roman assemblies, iaitu perhimpunan-perhimpunan rakyat yang dipanggil untuk melakukan undi bagi menentukan pelbagai keputusan penting pentadbiran. Kesemuanya akan dibincangkan di masa akan datang.

✓ Republik merupakan sistem pentadbiran unik ciptaan orang-orang Roman dan tidak pernah diwujudkan oleh mana-mana tamadun lain sebelumnya mahupun yang sezaman dan setara dengan Rome di semenanjung tanah Italy dan kawasan-kawasan lain di Eropah. Hanya sistem pentadbiran Demokrasi yang diamalkan di negeri Athens di Greece ketika itu yang boleh dibandingkan dengan Republik. Kedua-duanya memakai konsep kuasa pentadbiran yang diserahkan kepada rakyat sendiri. Namun Republik Rome lebih terbatas dan mempunyai kekangan-kekangan tertentu, tidak seperti Demokrasi Athens yang lebih bebas dan terbuka.

Satu kebetulan yang menarik ialah Republik Rome dan Demokrasi Athens ditubuhkan dalam peringkat waktu yang lebih kurang sama, iaitu kurun ke-6 sebelum Masihi (600 BCE-501 BCE) dan kedua-duanya berdiri di atas konsep yang lebih kurang serupa sebagai falsafah terasnya, yakni kuasa ditangan rakyat, walaupun kedua-duanya mempunyai struktur dan organisasi yang amat berbeza.

Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Rom: Peristiwa Penculikan Dan Pemerkosaan Wanita-wanita Sabine

Ada dua peristiwa yang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan sejarah permulaan dan pengakhiran kerajaan Rome. Kedua-duanya dikaitkan d...