Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Roman: Peristiwa Pemerkosaan Lucretia, Penggulingan Raja Roman Terakhir, Berakhirnya Kerajaan Roman Dan Rom Muncul Sebagai Kuasa Republik—Bahagian II

Dalam pangkuan suaminya, Lucretia rebah ke bumi dengan pisau tertusuk di dadanya. Dalam keadaan hiba yang dialami oleh mereka yang hadir menyaksikan peristiwa itu, dikatakan Brutus merupakan orang yang telah mencabut pisau dari jasad Lucretia yang sudah tidak lagi bernyawa itu. Dengan bersaksikan Mars dan dewa-dewa Rome yang lainnya, Brutus bersumpah tidak akan membiarkan Sextus terlepas dan akan mengeluarkan keluarga Tarquin dari Rome untuk selama-lamanya.

Penceritaan mengenai tumbangnya kerajaan Rome dan kemasukan Rome ke fasa Republik tidak akan lengkap tanpa kita menceritakan sedikit sebanyak mengenai lelaki yang bernama Brutus ini, atau nama lengkapnya, Lucius Junius Brutus. Beliau merupakan individu yang telah bertanggungjawab mengumpulkan rakyat Rome dan memimpin pemberontakan menentang dan menggulingkan Superbus, seterusnya, bersama dengan suami Lucretia, Collatinus, menjadi dua orang pengasas Republik Rome dan pemegang-pemegang jawatan 'consul' yakni jawatan pegawai tertinggi Republik.

Lucius Junius Brutus: Lucius ialah nama lahirnya. Junius nama suku keluarga dari mana beliau berasal, yakni suku Junia, salah satu dari keluarga-keluarga yang berpengaruh dalam kalangan penduduk Rome. Brutus ialah nama gelarannya.

Dikatakan sebelum peristiwa pemerkosaan Lucretia, Brutus telah melalui beberapa kekejaman yang dilakukan oleh Superbus, antaranya Superbus bertindak menghukum bunuh beberapa orang ternama di Rome, termasuk abang Brutus sendiri. Lalu Brutus berpura-pura berkelakuan seperti orang terencat akal untuk mengelakkan daripada keluarga Tarquinius hilang kepercayaan padanya. Dari ini beliau mendapat namanya, perkataan Latin 'brutus' membawa maksud 'yang dungu atau terencat akal'.

Seterusnya, sewaktu Brutus menyatakan sumpahnya untuk membela Lucretia dan membawa Superbus bersama keluarganya ke muka pengadilan, beliau mendedahkan kepada semua bahawa beliau bukanlah terencat akal seperti yang dilihat dan beliau hanya berpura-pura begitu untuk mengelakkan daripada menerima nasib yang sama dengan abangnya dan yang lain.

Brutus mengggunakan kuasanya sebagai seorang pegawai berpangkat 'Tribunus Celerum'[1] untuk menyeru perhimpunan rakyat Rome dan menyeru agar mereka bangkit menentang Superbus. Beliau menyampaikan ucapan dengan semangat yang berkobar, yang pada mulanya menerangkan kedudukan sebenarnya dirinya bahawa lakonan terencat akalnya bukanlah benar. Seterusnya beliau menyenaraikan beberapa salah laku dan kezaliman yang telah dilakukan oleh Superbus dan keluarganya, antaranya termasuk apa yang berlaku pada Lucretia ini. Akhirnya, beliau menyeru agar mereka bangkit mengangkat senjata untuk memerangi Superbus. Pintu gerbang untuk memasuki Rome telah dihadang. Askar-askar bersenjata berkawal di sekitar kota, menanti waktu untuk bertindak jika mereka melihat kelibata Superbus dan mana-mana ahli keluarganya.

Kemudian Brutus meninggalkan Lucretius (ayah Lucretia) untuk menjaga kota. Beliau memimpin pasukan bersenjata menuju ke perkhemahan tentera Roman di Ardea, dimana Superbus dan putera-puteranya, termasuk Sextus, masih berkhemah. Superbus, yang ketika itu telah pun menerima berita perkembangan apa yang berlaku di Rome, meninggalkan Ardea dan menuju ke Rome sebelum Brutus tiba di Ardea.

Di Ardea, Brutus telah disambut baik oleh tentera Roman yang sedang berkhemah di sana dan diangkat sebagai wira orang-orang Rome. Sedangkan putera-putera Superbus diusir keluar dari perkhemahan. Manakala Superbus sendiri, apabila tiba di Rome, telah dihalang memasuki kota.

Dengan itu, tanggal 509 BCE, berakhirlah peristiwa penggulingan Lucius Tarquinius Superbus bersama keluarganya dari takhta Rome dan berakhirnya fasa kerajaan Rome.


[1]. 'tribunus celerum' (eng. Tribune of the Celeres) ialah jawatan 'tribune' (i.e. ketua/general) kepada badan pengawal peribadi diraja yang digelar 'celerum'. Celerum ialah badan pengawal peribadi khas diraja yang ditubuhkan oleh pengasas Rome dan rajanya yang pertama, iaitu Romulus sendiri. Mereka terdiri dari sejumlah 300 orang pahlawan-pahlawan Roman yang tergagah, 10 orang dipilih dari setiap 'curia' (i.e., pecahan rakyat Rome yang terdiri dari 30 orang).

Jawatan tribunus celerum dikatakan berada di bawah seorang raja, menyerupai pemangku diraja. Beliau mempunyai dua kuasa dan peranan besar yang kebanyakannya berfungsi hanya apabila ketiadaan raja, antaranya:-

i. Kuasa untuk meluluskan undang-undangnya sendiri, yang disebut 'lex tribunicia' (ie. undang-undang tribune) untuk membezakannya dengan undang-undang yang diluluskan oleh autoriti raja, atau 'lex regia' (i.e. undang-undang diraja).

ii. Kuasa untuk menyeru perhimpunan rakyat Rome yang disebut 'comitia curiata' dan mengetuainya bagi membincangkan keputusan-keputusan kerajaan. Malah, pegawai ini berupaya menanggalkan 'imperium', yakni kuasa utama seorang raja, dalam erti kata lain menghapuskan kedudukannya sebagai raja, jika ianya dipersetujui oleh perhimpunan rakyat ini.

Inilah yang telah berlaku dalam situasi Brutus ini, apabila beliau menggunakan kuasanya sebagai tribunus celerum untuk menyeru rakyat Rome supaya berkumpul, berucap di depan mereka dan menyakinkan mereka pada segala kezaliman dan salah laku yang dibuat oleh Superbus dan akhirnya dengan persetujuan dari mereka, menanggalkan seluruh kuasa diraja atau 'imperium' yang dipunyai oleh Superbus, sekaligus menjadikan Superbus bukan lagi raja Rome yang sah, dalam arti kata lain, menggulingkannya.

Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Roman: Peristiwa Pemerkosaan Lucretia, Penggulingan Raja Roman Terakhir, Berakhirnya Kerajaan Roman Dan Rom Muncul Sebagai Kuasa Republik—Bahagian I

Disediakan sepenuhnya oleh: Ahmad Dailami Fauzi.

Peristiwa pemerkosaan Lucretia merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah Rome, dimana raja Rome terakhir, iaitu Lucius Tarquinius Superbus, telah digulingkan dan dihalau keluar oleh rakyat Rome, apabila salah seorang puteranya, Sextus Tarquinius, memperkosa seorang wanita bangsawan yang bernama Lucretia. Setelah mengetahui perkara ini, rakyat Rome bangkit memberontak, mereka bersumpah dengan darah dan nyawa mereka untuk tidak membenarkan lagi raja, yakni seorang individu tunggal yang memegang seluruh kuasa di tangannya memerintah Rome sampai bila-bila. Lalu Rome menghapuskan sistem pemerintahan berasaskan autokrasi monarki (sistem diraja) dan membentuk satu sistem pemerintahan baru yang disebut 'republik'.

Lucretia merupakan seorang wanita dari keturunan yang dihormati dan juga telah bersuami. Beliau merupakan puteri Spurius Lucretius Tricipitinus dan isteri Lucius Tarquinius Collatinus, anak saudara kepada Lucius Tarquinius Superbus, raja Rome yang dimaksudkan. Ini menjadikannya sepupu kepada Sextus (perhatikan dengan teliti kerana nama-nama mereka lebih kurang serupa). Seorang lagi watak penting dalam cerita ini ialah Lucius Junius Brutus [1], yang juga merupakan sepupu kepada Sextus.

Sebagai ringkasan, setiap nama-nama ini dipendekkan kepada nama-nama hujung mereka saja. Contohnya Lucius Tarquinius Superbus akan dipanggil Superbus sahaja, Lucius Tarquinius Collatinus akan dipanggil Collatinus dan Lucius Junius Brutus akan dipanggil Brutus.

Ketika Superbus memimpin tentera Rome mengepung sebuah kota yang dinamakan Ardea, mereka bermalam di sekitar kawasan kota tersebut. Bersama pasukan itu, ada sekumpulan perajurit Rome yang duduk menghabiskan masa sambil makan, minum dan berborak. Dalam kalangan mereka ada putera-putera Superbus dan juga Collatinus, suami Lucretia. Dalam keadaan mabuk, mereka berbicara perihal isteri masing-masing dan membesarkan kelebihan-kelebihan mereka. Collatinus mendakwa isterinya, Lucretia, merupakan contoh isteri yang terbaik. Sebagai untuk membuktikannya, beliau mencadangkan supaya mereka sama-sama menunggang balik ke rumah mereka masing-masing dan membuat kejutan untuk melihat apa yang dilakukan oleh isteri-isteri mereka.

Lalu mereka bersetuju dan melakukannya. Mereka pun secara senyap memacu kuda masing-masing dan menziarahi rumah setiap seorangnya untuk memperlihatkan kepada yang lain apa yang dibuat oleh isterinya. Apabila tiba di Collatia, dimana terletaknya rumah Collatinus, terbukti bahawa Lucretialah wanita yang mempunyai harga diri yang paling sempurna. Ketika mana isteri-isteri yang lain sedang sibuk menghabiskan masa berhibur dengan ketiadaan suami-suami mereka di rumah, Lucretia mengemas dan menguruskan rumahnya bersama dengan pembantu-pembantunya. Satu kualiti yang cukup dipuji dan dimahukan bagi wanita-wanita Rome.

Lucretia bukan saja seorang wanita yang mempunyai harga diri yang tinggi, tapi juga mempunyai rupa paras yang jelita. Sebaik saja Sextus, yang ketika itu berada bersama dengan Collatinus dan yang lainnya, melihat kejelitaan Lucretia, jiwanya dipenuhi dengan nafsu yang bergelora. Lalu beliau menyimpan niat jahat terhadap Lucretia.

Setelah mereka masing-masing kembali ke perkhemahan, beberapa hari selepas itu, Sextus secara senyap menuju ke rumah Lucretia. Lucretia yang pada ketika itu telah pun mengenali Sextus sebagai salah seorang rakan seperjuangan suaminya menyambut kedatangannya sebagai tetamu dan melayannya dengan baik. Beliau sama sekali tidak mengesyaki niat sebenar Sextus.

Lalu pada malam itu, Sextus masuk ke bilik Lucretia dan mengajaknya melakukan hubungan sambil mengancamnya dengan pedang dan mengugut untuk membunuhnya jika dia menolak. Namun Lucretia enggan menyerah. Apabila taktik mengugut ini tidak berkesan, Sextus mengugut pula akan membunuh dirinya dan salah seorang pembantu lelakinya, lalu mengumpulkan mayat mereka berdua dalam keadaan bertindih dan memberitahu kepada suaminya bahawa dia telah berlaku curang dan terlibat dengan hubungan luar nikah dengan pembantu tersebut. Ketika ini Lucretia tidak mempunyai pilihan lain. Akhirnya dia menyerah.

Menurut satu versi ceritanya, pada keesokan harinya, Lucretia datang ke rumah ayahnya di Rome sambil berpakaian hitam, lalu duduk dalam keadaan berteleku dan menangis. Diminta untuk menceritakan apa yang berlaku, beliau terlebih dulu menyeru semua saksi yang ada, yakni pembantu-pembantunya, lalu menceritakan apa yang berlaku dan merayu agar dirinya dibela. Ketika orang-orang yang hadir sedang berbincang apa tindakan yang harus dibuat, Lucretia mengaluarkan pisau lalu menikam dirinya sendiri di dadanya. Beliau mati dalam pangkuan ayahnya.

Menurut satu versi lain, Lucretia tidak datang ke Rome, tapi sebaliknya mengirimkan surat agar suami dan ayahnya datang bertemunya dengan membawa dua orang lelaki lain untuk menemani mereka kerana alasannya, sesuatu yang sangat buruk telah berlaku. Tujuan dipanggil dua orang peneman ini berkemungkinan untuk mencukupkan bilangan empat orang sebagai saksi.

Collatinus yang ketika itu masih berada di Ardea datang bersama salah seorang lagi anak saudara Superbus yang bernama Lucius Junius Brutus (rujuk perenggan kedua penulisan ini dan nota kaki 1). Ayah Lucretia, Spurius Lucretius Tricipitinus pula datang bersama dengan seorang lelaki bernama Publius Valerius Publicola.

Mereka menemui Lucretia di dalam biliknya. Sebaiknya saja melihat mereka, beliau menangis dan menceritakan apa yang telah terjadi. Seterusnya beliau meminta agar semua lelaki yang hadir ketika itu, termasuk suaminya, ayahnya, Brutus dan Publicola bersumpah agar pelaku perbuatan keji ini, iaitu Sextus, tidak dibiarkan tanpa dihukum. Setelah berjanji untuk membawa Sextus ke muka pengadilan, mereka cuba menenangkan Lucretia dengan mengatakan apa yang telah berlaku bukan salah dirinya. Namun Lucretia tidak dapat menahan perasaannya apabila beliau memikirkan tubuhnya telah dicemari. Lucretia mengeluarkan sebilah pisau. Menurut satu penceritaan, beliau mengungkapkan kata-kata ini dalam bahasa Latin:-

"Nec ulla deinde inpudica Lucretiae exemplo vivet"

"Tidak akan lagi pernah seorang wanita yang sudah tidak suci melalui seumpama apa yang dialami oleh Lucretia".

Lelaki-lelaki yang sedang menyaksikan peristiwa ini melihat satu sama lain dengan wajah yang keliru sambil berteriak: "Jangan!". Namun segala-galanya sudah terlambat. Lucretia menikam dadanya sendiri. Di tengah-tengah tangisan dan teriakan ayah dan suaminya, Lucretia rebah ke bumi. Collatinus meratap sambil memangku jasad Lucretia yang sudah tidak bernyawa itu sambil mengucup dan memangil-manggil namanya.

... bersambung ke Bahagian II ...


[1]. Lucius Junius Brutus, bersama dengan suami Lucretia, iaitu Lucius Tarquinius Collatinus merupakan dua orang individu penting yang memainkan peranan sebagai pengasas kepada Republik Rome sekaligus menjadi pemegang jawatan 'consul' yang pertama dalam sejarah Republik. Jawatan 'consul' merupakan jawatan pegawai Republik yang teratas, mewakili pemerintah tertinggi Republik Rome (eng: the supreme leaders of the Roman Republic). Mereka berjumlah dua orang dan dilantik setiap setahun sekali dan hanya diberi peluang untuk memegang jawatan ini selama setahun sebelum ditukar dengan dua orang lainnya untuk tahun berikutnya. Sebab mengapa dijadikan begini akan dibincangkan dalam penulisan selanjutnya.

Sejarah Ketamadunan Roman Purba: Kerajaan Rom: Peristiwa Penculikan Dan Pemerkosaan Wanita-wanita Sabine

Ada dua peristiwa yang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan sejarah permulaan dan pengakhiran kerajaan Rome. Kedua-duanya dikaitkan d...